SHAH ALAM: EON Berhad (EON) menyasarkan sejumlah 500 tempahan pembelian kereta dibuat menerusi platform pembiayaan digital bersepadu EON Capital Sdn Bhd yang dilancarkan hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad, Akkbar Danial, sepanjang penganjuran festival itu juga, pelanggan yang membuat tempahan dan permohonan pembiayaan kereta baharu edaran EON melalui platform pembiayaan kereta digital berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai RM100,000 serta hadiah utama sebuah Proton S70.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran festival, Akkbar berkata pengenalan pembiayaan digital itu juga akan membolehkan pelanggan membeli kenderaan edaran EON di mana-mana sahaja mereka berada.

"Pelanggan yang maju boleh berada di rumah dan membeli kereta mereka...sudah tentu rakyat Malaysia lebih suka dengan kaedah digital kerana anda boleh berurusna lebih mudah kecuali untuk menandatangani LoU (Surat Aku janji) kerana di bawah Bank Negara anda masih perlukan tandatangan fizikal.

"Selain itu, pelanggan sebenarnya boleh memuat naik semua borang dan dokumen yang diperlukan secara dalam talian dan kami dipautkan dengan Biro Kredit Malaysia untuk kelulusan, dan kemudian bank akan menawarkan LoU kepada pelanggan," katanya.

Untuk rekod, EON merupakan pengedar kereta jenama global melalui anak-anak syarikatnya yang memasarkan rangkaian kereta Audi, Volkswagen dan Mitsubishi selain merupakan pengedar rasmi bagi jenama kereta nasional Proton.

Beliau berkata jenama lain yang terlibat dalam festival berkenaan ialah AVIS Car Rental, PUSPAKOM, Pos Malaysia, dan pusat servis kereta pantas Petromin Express selain penglibatan Universiti Automotif DRB-HICOM bagi membimbing pengunjung yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang automotif dan lain-lain.

Acara juga dimeriahkan dengan Bazar Raya sempena Ramadan dan Aidilfitri dengan penglibatan vendor berkaitan fesyen, hiasan dan makanan, selain pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik dengan penampilan selebriti dan zon khas kanak-kanak.

-- BERNAMA